X

Kindly register in order to view this article
!

RCI Wang Kelian: Polis perlahan dalam tindakan

Saksi ke-12 bekas Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Rizani Che Ismail keluar selepas memberi keterangan pada sesi pendengaran awam mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis di Dewan Gemilang, Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Rizani Che Ismail yang terlibat dalam siasatan kes penemuan kem sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis, hari ini mengakui pasukan polis agak perlahan dalam mengambil tindakan dan menangani kes pada 2015.

Saksi ke-12 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian itu bagaimanapun percaya ia disebabkan pucuk pimpinan polis berpandangan, ia adalah isu sensitif melibatkan dua negara, yang perlu ditangani secara berhati-hati.

“Secara peribadi saya anggap pucuk pimpinan melihat kes ini sebagai isu antarabangsa yang mana tindakan harus mengambil kira hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

ARTIKEL BERKAITAN: RCI Wang Kelian: Dapat arahan tak teruskan siasatan

“Bagi saya kes ini agak besar dan gempak, tapi tidak tahu kenapa kita agak perlahan dalam tindakan,” katanya ketika ditanya Timbalan Pengerusi RCI Tan Sri Norian Mai, sama ada beliau bersetuju bahawa reaksi IPD Padang Besar, Polis Kontinjen Perlis dan Bukit Aman seolah-olah tidak gempar dengan penemuan tersebut.

Rizani yang bertugas selama dua tahun setengah di IPD Padang Besar bermula pada 2014 turut memberitahu RCI bahawa beliau tidak pernah dihubungi mana-mana pihak dari Bukit Aman untuk mendapatkan maklumat berhubung kes tersebut sehingga Ops Wawasan Khas dilancarkan pada 25 Mei 2015.

Ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa tindakan polis perlahan kerana mahu menutup kelemahan dan tidak mahu ia tersebar kepada umum, Ruzaini, yang kini bertugas selaku Penolong Pengarah D6 Bantuan Teknik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, tidak bersetuju dengan andaian tersebut, kerana pihaknya telah memberikan segala maklumat kepada Bukit Aman. “Saya tidak bersetuju kerana di peringkat polis Perlis telah merujuk kepada Bukit Aman untuk persetujuan dan kami hanya tunggu arahan sahaja.

“Pada ketika itu, saya dengan kekuatan 28 pegawai dan 269 anggota sanggup sekiranya diberikan arahan untuk saya lakukan operasi tersebut,” katanya kepada pertanyaan anggota panel RCI yang juga bekas Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Noobahri Baharuddin.

Rizani turut memberitahu RCI itu bahawa beliau menerima arahan langsung daripada Ketua Polis Perlis supaya tidak meneruskan siasatan lanjut, selepas selesai menggali satu daripada 25 struktur tanah menyerupai kubur di Bukit Wang Burma pada 6 Mac 2015.

"Selepas penemuan mayat itu, saya hubungi Ketua Polis Perlis bagi memaklumkan penemuan mayat, tetapi saya diarahkan balik kerana misi pada pada hari itu hanyalah untuk mengesahkan kandungan di dalam struktur tanah yang menyerupai kubur.

"Esoknya saya bagi taklimat kepada Ketua Polis Perlis dan beliau arahkan supaya hentikan dahulu siasatan kerana kes akan dibawa kepada pihak atasan," katanya.

Prosiding RCI bersambung esok. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!