Rakyat Malaysia jangan ambil tindakan sendiri - Fahmi Fadzil

Tular empat gambar di Twitter yang menunjukkan kereta jenis Toyota dan Proton disimbah cat dan asid, selain turut dipaparkan nota berbaur ugutan. (Gambar kanan : Fahmi Fadzil - Foto Bernama)
Tular empat gambar di Twitter yang menunjukkan kereta jenis Toyota dan Proton disimbah cat dan asid, selain turut dipaparkan nota berbaur ugutan. (Gambar kanan : Fahmi Fadzil - Foto Bernama)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh merosakkan harta benda dan mengancam nyawa, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian dalam ciapan di Twitter berhubung gambar-gambar kenderaan yang didakwa milik pengarah dan pelakon-pelakon filem Mentega Terbang dirosakkan selain nota ugutan daripada individu tidak dikenali yang tular di platform media sosial itu.

"Saya kecam sekeras-kerasnya ugutan ini serta sebarang tindakan di luar batas undang-undang. Patuhi undang-undang, jangan mengambil tindakan sendiri,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Khamis.

Terdahulu, tular empat gambar di Twitter yang menunjukkan kereta jenis Toyota dan Proton disimbah cat dan asid, selain turut dipaparkan nota berbaur ugutan mengancam nyawa mangsa sekeluarga pada cermin kereta terbabit.

Sebelum ini, filem indie tempatan yang ditayangkan menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam, berikutan karya itu didakwa memaparkan adegan dengan unsur-unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama. - Bernama.