Bapa tunggal meninggal dunia bawah pokok durian

Mangsa ditemui oleh penduduk kampung terbaring bersama peralatan menebang pokok.
Mangsa ditemui oleh penduduk kampung terbaring bersama peralatan menebang pokok.
A
A
A

SIK - Seorang lelaki yang mengambil upah menebang pokok ditemukan mati ketika melakukan kerja penebangan pokok durian di Kampung Tala, Jeneri, di sini pada Khamis.

Ketua Operasi Briget Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata, mangsa dikenali sebagai Ahmad Tarmizi Abdullah, 49, ditemui oleh penduduk kampung terbaring bersama peralatan menebang pokok.

Katanya, pusat operasi menerima laporan pada jam 11 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi dengan segera.

"Sebaik tiba di sana, anggota cuba memberi bantuan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) namun mangsa sudah tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Menurutnya, Unit Perubatan Hospital Sik yang tiba kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Ujarnya, mayat mangsa yang juga bapa tunggal lima anak itu dihantar ke Hospital Sik untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Menurut keterangan daripada saksi juga mangsa pada mulanya ada mengadu sakit dada dan tiba-tiba rebah," katanya yang mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.