Mashitah tewas, Hasita kekal Ketua Wanita UMNO Kuala Kedah

Noor Hasita (kiri), Mashitah (kanan)
Noor Hasita (kiri), Mashitah (kanan)
A
A
A

ALOR SETAR - Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim tewas dalam pemilihan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah.

Mashitah tewas tipis kepada penyandang, Noor Hasita Mat Isa yang diumumkan menang dalam persaingan sengit pada pemilihan semula yang diadakan pada Rabu.

Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, Noor Hasita menang dengan hanya majoriti 16 undi apabila memperoleh 285 undi berbanding Mashitah sebanyak 269 undi.

“Keputusan menyaksikan Noor Hasita menang jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah.

“Proses pemilihan semula yang diadakan di Bangunan Tunku selama tiga jam pada Rabu berjalan lancar tanpa sebarang provokasi. Seramai 555 daripada 762 perwakilan layak mengundi hadir dalam pemilihan semula itu,” katanya di sini pada Khamis.

Menurutnya, lebih 50 kotak undi disediakan untuk perwakilan menunaikan tanggung jawab memilih ketua bagi sayap bahagian berkenaan.

Pemilihan Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah terpaksa diadakan semula selepas berlaku percanggahan ketika proses pengiraan undi, Sabtu lalu.

Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Kuala Kedah mendapati sebanyak 570 kertas undi diterima selepas proses pengundian berbanding hanya 521 perwakilan yang hadir.

Berikutan itu, bantahan dikemukakan mendakwa wujudnya pengundi hantu menyebabkan keputusan pemilihan digantung sebelum diadakan semula pada Rabu.

Sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mashitah membuat kemunculan semula bertanding kerusi Parlimen Kuala Kedah namun tewas kepada Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dari Pas.

Mashitah ketika dihubungi reda dengan keputusan terbabit dan menyifatkan menang atau kalah sebagai adat pertandingan.

“Saya bersyukur mendapat kepercayaan ramai walaupun berpindah ke UMNO Bahagian Kuala Kedah lebih dua bulan lalu. Sokongan memberangsangkan itu memberi inspirasi dan semangat kepada saya,” katanya.

Walaupun tewas, Mashitah berazam untuk bersama membina semula UMNO selain merapatkan kembali saf sayap parti itu.

“Fokus saya kini untuk mengukuhkan jentera khususnya wanita di peringkat bahagian, tewas bukan penamat untuk tidak terus berkhidmat. Saya memiliki semangat juang yang tinggi dan akan meneruskan misi memperjuangkan nasib wanita,” ujarnya.

Menurutnya, Kuala Kedah perlukan perubahan dan usaha gigih untuk menebus kembali maruah setelah kalah pilihan raya hampir dua dekad.

Sementara Noor Hasita akan memberi tumpuan meneruskan khidmat dan bakti sebagai peneraju sayap wanita bahagian itu untuk penggal baharu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pemilihan kali kedua ini. Marilah sama-sama kukuhkan parti untuk kita berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” ujarnya.