Sultan Johor kecewa hutan simpan diteroka

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kecewa dengan tindakan segelintir Orang Asli meneroka hutan simpan kerajaan yang dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

Titah baginda, pencerobohan hutan adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan Orang Asli juga tidak terkecuali.

"Saya percaya ada orang luar yang menjadi dalang di dalam hal ini dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hal Orang Asli sebagai alasan.

"Malah, ada juga yang cuba menuntut 'kawasan rayau' yang tidak masuk akal. Kalau hendak diikutkan, semua yang ada di dalam dewan ini pun banyak tempat merayau.

"Suka saya ingatkan, walaupun kedudukan Orang Asli dilindungi oleh Perlembagaan, mereka juga wajib patuh kepada undang-undang yang ada. Pencerobohan hutan adalah salah, dan Orang Asli juga tidak terkecuali," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, di sini pada Khamis.

Sultan Johor bertitah, sejak dahulu lagi, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli di Johor dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pemberian bantuan bagi menaik taraf kehidupan mereka.

Titah Baginda, kerajaan juga telah menyediakan kawasan penempatan Orang Asli yang lebih tersusun dengan kemudahan bekalan air dan elektrik, serta kemudahan awam yang lain untuk memberikan keselesaan kepada mereka.

"Kerajaan mesti tegas dalam tindakan yang diambil dan membuat pemantauan secara berterusan untuk menjaga khazanah hutan dan melindungi hidupan liar.

"Saya menggesa kepada kerajaan supaya meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah 'sultanate land' supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

"Jangan sampai 'pisang berbuah dua kali', mengulangi kesilapan dahulu seperti kes Orang Asli di Bekok," titah baginda.