Lelaki warga emas maut langgar tiang lampu

Kenderaan yang dipandu mangsa melanggar tiang lampu di Jalan Klang Lama pada Khamis.
Kenderaan yang dipandu mangsa melanggar tiang lampu di Jalan Klang Lama pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya melanggar tiang lampu di Jalan Klang Lama pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan membabitkan kenderaan jenis Mitsubishi Triton itu pada jam 2.10 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berhampiran sebuah kilang dekat sini pada jam 12.10 malam.

"Mangsa berusia 66 tahun itu dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu di tepi jalan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa merupakan lelaki warga emas dilaporkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor A Navalan di talian014-2536820 bagi membantu siasatan," katanya.