PM umum tambang percuma MRT Laluan Putrajaya hingga 31 Mac

Perkhidmatan MRT laluan Putrajaya akan beroperasi sepenuhnya mulai hari ini ketika tinjauan di Stesen Raja Uda pada Khamis. - Foto Bernama
Perkhidmatan MRT laluan Putrajaya akan beroperasi sepenuhnya mulai hari ini ketika tinjauan di Stesen Raja Uda pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian tambang percuma bagi pengguna perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya, bermula hari ini sehingga 31 Mac.

Beliau berkata, tambang percuma itu termasuk bas perantara meliputi MRT Laluan Putrajaya dari Kwasa Damansara sehingga ke Putrajaya Sentral.

"Dan kerana kejayaan MRT Corp dan pelaksanaan MRT ini, saya bersetuju mulai hari ini jam 3 petang, kita tidak akan kenakan bayaran bagi yang menggunakan sehingga 31 Mac," katanya dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua di Depoh MRT Serdang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Dengan laluan sepanjang 40.2 kilometer (km) dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral, operasi Fasa Dua yang akan mula beroperasi jam 3 petang hari ini, melibatkan beberapa lokasi atau stesen hot spot antaranya Sungai Besi, Chan Sow Lin dan Ampang Park, yang merupakan tempat tumpuan warga kota yang bekerja.

Ia turut melibatkan laluan dengan perkhidmatan stesen pertukaran antara laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya, MRT Kajang dan monorel.

MRT Putrajaya secara keseluruhannya melibatkan laluan sepanjang 57.7km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, dengan 36 stesen termasuk sembilan stesen bawah tanah dan 49 set tren.

Sebelum ini, MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu, telah dibuka untuk pengguna pada 16 Jun lepas.