Ramai ‘pembeli beras’ yang masih bertanggungjawab

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

DUNIA hiburan tanah air kecoh dengan dua kes rumah tangga selebriti. Satu melibatkan seorang isteri pengarah filem tersohor menuntut cerai selepas suaminya bernikah dengan seorang pelakon muda di selatan Thailand.

Belum pun isu itu reda, timbul pula kes seorang pelakon muda menampar isteri sehingga cedera di muka.

Tapi Merak Jalanan bukan nak ulas isu kedua-dua selebriti ini, cuma tertarik reaksi orang ramai di media sosial. Ramai yang melemparkan kecaman kepada pengarah dan pelakon tersebut. Sampai rakan sekerja wanita di pejabat Merak Jalanan pun tunjuk mimik muka meluat kalau disebut nama salah seorang daripada mereka.

Kisah kedua-dua selebriti itu turut menyebabkan kaum-kaum lelaki yang lain terkena tempias. Maka terkeluarlah ayat ‘lelaki semua sama’ sehinggakan ada kaum wanita menambah frasa ‘beras kita beli’ dengan ‘nasi kita masak’.

Apa pun Merak Jalanan anggap kecaman-kecaman ini sebagai gurau senda antara kaum lelaki dan perempuan. Meriah juga membaca komen sebegini sampai kadang-kadang Merak Jalanan pun tergelak sendiri.

Bagi Merak Jalanan, kisah rumah tangga selebriti ini tidaklah boleh disamaratakan dengan semua kaum lelaki. Ini hanya segelintir, sedangkan lebih ramai suami-suami di luar sana yang masih bertanggungjawab.

Misalnya, ada kawan Merak Jalanan sanggup memberi semua wang gajinya yang kecil untuk isteri yang tidak bekerja. Kalau nak pakai duit, baru dia minta daripada isterinya.

Paling mengagumkan, dia mampu membeli rumah hasil wang gaji yang disimpan isterinya itu.

Banyak lagi contoh-contoh suami yang baik tetapi tidak dihebohkan di mana-mana media sosial. Tak perlu cari jauh-jauh, antara contoh terbaik ialah ayah kita sendiri.

Jadi, nasihat Merak Jalanan, tak perlulah nak kecam ‘pembeli beras’ ini hanya kerana seorang selebriti.