Negeri Sembilan miliki kelebihan tundukkan TFC

Negeri Sembilan FC tekad mencari kemenangan ke atas TFC di Paroi pada Khamis. - FOTO FACEBOOK NEGERI SEMBILAN FC
Negeri Sembilan FC tekad mencari kemenangan ke atas TFC di Paroi pada Khamis. - FOTO FACEBOOK NEGERI SEMBILAN FC
A
A
A

PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K Devan percaya skuad Rusa mempunyai sedikit kelebihan terutama dari segi kecergasan menjelang pertemuan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Khamis.

Menurut Devan, beliau mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkan pasukan selain pemain berada pada tahap kecergasan terbaik untuk melakar kemenangan pertama musim ini.

Sebagai rekod, Negeri Sembilan hanya bermain selama 27 minit dalam aksi bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu lalu selepas terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat.

“Saya rasa ada banyak masa untuk menyiapkan pasukan bertemu pasukan Terengganu. Mungkin kita agak keletihan kerana kita bermain tiga perlawanan dalam tempoh masa yang singkat.

“Sekarang ini, kita ada masa lebih untuk menyiapkan pasukan dan memberikan ruang lebih lama kepada pemain kembali cergas seperti biasa. Bagi saya, ini kelebihan buat pasukan saya,” katanya.

Skuad Jang itu masih belum melakar sebarang kemenangan dalam aksi Liga Super musim ini selepas seri dua perlawanan awal menentang Sri Pahang dan Penang FC.

Namun dalam perlawanan ketiga skuad Hobin Jang Hobin itu dibelasah 0-7 penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) di Paroi.

Dalam pada itu, Devan turut mengingatkan pemainnya supaya lebih berwaspada menghadapi TFC selepas pasukan pantai timur itu meraih kemenangan pertama menentang PDRM FC.

“Kita perlu lebih bekerja keras dan fokus dalam perlawanan ini. Apa yang penting kita bermain di tempat sendiri dan kita perlu kutip mata sekali gus memperbaiki kedudukan,” katanya.