Aksi sengit Selangor, JDT

Azraai - Foto Agensi
Azraai - Foto Agensi
A
A
A

SELANGOR FC dilihat mampu menjadi pencabar terkuat kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) yang gah meneraju Liga Super setelah melakar empat kemenangan bersih setakat ini.

Bagaimanapun skuad Gergasi Merah bakal berdepan tentangan sengit JDT pada aksi tumpuan minggu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Jumaat.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, skuad Harimau Selatan sudah pasti mahu mengekalkan momentum kemenangan biarpun beraksi di laman lawan.

Justeru beliau berkata, jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe perlu merangka strategik terbaik untuk mengekang asakan pasukan lawan selain mengintai peluang untuk menjaringkan gol.

“Perlu berhati-hati dengan corak serangan JDT. Mustahil Selangor mahu bertahan di laman sendiri. Mental dan fizikal bertahan perlu kuat. Ada peluang, buat serangan balas dan cuba hasilkan gol.

“Kesemua 14 jurulatih Liga Super akan mengamalkan corak bertahan apabila bertemu JDT. Mereka tiada simpati apabila menyerang, ada peluang, gol akan terhasil. Inilah bola sepak sebenar,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Menurut Azraai, perlawanan itu juga penting buat Cheng Hoe untuk mengekalkan rekod tanpa kalah bermula awal musim ini dan keputusan seri sudah pasti melegakan buat skuad Gergasi Merah.

“Para penyokong Selangor juga mahu melihat kewibawaan Cheng Hoe membuat persiapan dan membentuk pasukan kuat. Ini ujian sebenar buat Selangor. Andai keputusan seri, Alhamdulillah,” katanya.

Azraai berkata, JDT yang dibimbing Estaban Solari itu berada dalam kelas tersendiri dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) menerusi barisan pemain yang berkualiti.

Tambahnya, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melakukan perancangan teliti untuk membentuk sebuah pasukan yang kuat.

“Nak jadi kelab elit inilah yang perlu dilakukan dan ia wajar dicontohi oleh pasukan lain. Percaturan rapi, tiada ruang buat pasukan lain untuk menang.

“Sebuah pasukan yang mantap. Pemain gantian pun berkualiti setanding pemain utama. Pasukan lain banyak kelemahan, pemain import tidak berkualiti dan macam-macam lagi masalah,” katanya.

Justeru Azraai melihat peluang JDT untuk menyapu bersih kesemua empat trofi seperti dilakukan musim lalu adalah cerah.

“Mereka bersedia pada bila bila masa dan di mana sahaja. JDT memiliki mentaliti menang,” katanya.

Pada musim 2023 skuad Harimau Selatan menyambar gelaran Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super.