KHM bawa masuk pakar pukulan sudut penalti dari Australia

Subahan (kanan) bersama Ciriello pada sidang media di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Facebook MHC.
Subahan (kanan) bersama Ciriello pada sidang media di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Facebook MHC.
A
A
A

MISI serampang dua mata Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) apabila mengumumkan penyertaan pakar sudut penalti dari Australia, Chris Ciriello ke dalam skuad Malaysian Tigers.

Penyertaan Ciriello bagi memantapkan lagi skuad lelaki negara dalam misi memburu slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Ciriello mempunyai sentuhan yang mampu membantu skuad negara mempertajamkan teknik pukulan sudut penalti.

"Saya nak maklumkan kita bawa Chris Ciriello untuk membantu menajamkan lagi pukulan sudut penalti.

"Dia akan bekerjasama dengan bekas pakar pukulan sudut penalti kita, Amin Rahim dan jurulatih yang lain," katanya dalam sidang media memperkenalkan Ciriello di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu.

Menurut Subahan, kehadiran Ciriello juga akan menjadi penghubung buat Malaysian Tigers dengan Australia

"Kehadiran Ciriello juga akan memudahkan kita untuk berurusan dengan Australia. Kita banyak hantar pasukan berlatih di sana berbanding Eropah sebab murah," katanya.

Ciriello mempunyai rekod cemerlang ketika bergelar pemain apabila menghasilkan 116 gol daripada 199 penampilan bersama Australia.

Dia juga pernah menggalas tugas sebagai pembantu jurulatih merangkap jurulatih analisis pasukan India dari tahun 2018 sehingga 2021.

Dalam pada itu, Ciriello akan menggunakan pengalaman dan pengetahuannya bagi membantu meningkatkan prestasi skuad hoki negara.

"Para pemain mempunyai potensi yang besar. Mereka laju cuma skuad ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga pakar sudut penalti.

"Skuad ini juga bagus, namun masih ada ruang penambahbaikan untuk memperbaiki lagi prestasi mereka," ujar Ciriello.