SPR ada kuasa semak pengundi jalankan tanggungjawab

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Kuasa mutlak untuk menyemak individu yang sudah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi atau tidak terletak di bahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, SPR sebagai badan bertanggungjawab turut mempunyai kuasa untuk menyiasat jika berlaku pertindihan alamat tempat mengundi.

"Untuk makluman tiada undang-undang yang menyekat orang ramai menukar alamat dan tempat mengundi di negeri lain seperti Selangor.

"Individu berkenaan berhak untuk mengundi mengikut alamat dan tempat yang didaftarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Galeri Seni Visual Al Khatiri Point pada Rabu.

Menurutnya, Pas sebagai sebuah parti tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Pas Selangor menolak tuduhan bahawa pengundi di Terengganu dan Kelantan kini menukar alamat tempat tinggal mereka untuk membuang undi di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan beberapa bulan lagi.

Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir dipetik berkata, tuduhan Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Adzman Kamaruddin bahawa sejumlah besar pengundi Pas di Kelantan dan Terengganu giat menukar alamat mengundi mereka ke Selangor adalah tidak berasas.