DUN Kedah lulus Enakmen Anti Lompat Parti

Sidang DUN Kedah dengan sebulat suara meluluskan RUU Anti Lompat Parti pada Rabu.
Sidang DUN Kedah dengan sebulat suara meluluskan RUU Anti Lompat Parti pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman (Pindaan 2023) berkaitan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.

Keputusan itu diumumkan Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat selepas proses pengundian RUU dijalankan pada Persidangan DUN Kedah di sini.

Usul pindaan itu dikemukakan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor (PN-Jeneri) bagi bacaan kali pertama dan kedua serta disokong oleh Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PN-Tokai).

Rang Undang-Undang berkenaan sebelum itu dibahas oleh lima ADUN iaitu, Datuk Zamri Yusuf (PH-Suka Menanti), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra), Mohd Azam Abd Samat (PN-Sungai Limau), Datuk Norsabrina Mohd Noor (BN- Bandar Baharu) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit)

Enakmen Anti Lompat Parti ini akan diwartakan pada 1 April ini, selepas diperkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sebelum ini, RUU Anti Lompat Parti diluluskan secara sebulat suara dan disokong 209 ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu.

Ia kemudiannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos lalu serta berkuat kuasa dengan rasmi pada 5 Oktober lalu.