APM sedia tambah anggota pasca banjir

Aminurrahim (lima dari kanan) bersama-sama pegawai dan anggota APM Perak selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Setia Peringkat APM Perak di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya pada Rabu.
Aminurrahim (lima dari kanan) bersama-sama pegawai dan anggota APM Perak selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Setia Peringkat APM Perak di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Angkatan Pertahanan Awam (APM) sudah mempersiapkan anggota sukarelawan tambahan untuk diatur gerak ke kawasan bencana bagi bantuan pasca banjir di lokasi terjejas khususnya di Johor.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya hanya menunggu arahan untuk menghantar sukarelawan berkenaan pada bila-bila masa jika diperlukan bagi membantu mangsa.

Menurutnya, ketika ini lebih 1,200 anggota terlibat dalam membantu mangsa banjir di Johor dengan bantuan pegawai sukarelawan dari negeri-negeri lain.

"Di Johor memang kita sedang menunggu. Ada satu jawatankuasa yang menentukan keperluan berapa banyak sukarelawan dan kita sudah sedia untuk menghantar.

"Kita kena tunggu daripada jawatankuasa tersebut untuk ditempatkan di mana. Saya tak nak ada tempat-tempat yang tertumpu dan ada tempat yang kurang (sukarelawan)," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Setia Peringkat APM Perak di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya pada Rabu.

Aminurrahim (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada anggota APM ketika Majlis Perhimpunan Setia Peringkat APM Perak di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya pada Rabu.
Aminurrahim (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada anggota APM ketika Majlis Perhimpunan Setia Peringkat APM Perak di Auditorium Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya pada Rabu.

Sementara itu, mengenai isu kehilangan khemah kubikel yang didakwa hilang kerana dibawa pulang mangsa banjir, Aminurrahim menjelaskan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai kejadian seumpama itu.

Menurutnya, memang diakui berlaku kekurangan sementara khemah kubikel di beberapa kawasan yang terjejas banjir memandangkan keadaan banjir luar jangka yang terjadi.

"Kalau ada kehilangan kita akan siasat. Setakat ini kita tidak ada isu sebab kita akan datang semula dan cari. Dakwaan bawa pulang itu kita tak terima, kalau berlaku kita anggap pinjam sementara dan akan pulangkan balik sebab ia tidak sesuai untuk digunakan sampai bila-bila.

"Benda (khemah kubikel) itu hanya sesuai untuk digunakan di PPS (pusat pemindahan sementara) sahaja sebab tak ada bumbung, bukan boleh buat khemah. Jadi saya rasa dakwaan itu sangat terpencil sebab memang berlaku kekurangan kerana masalah logistik," katanya.

Pada 6 Mac lalu, media melaporkan terdapat segelintir individu tidak bertanggungjawab membawa pulang khemah kubikel yang ditempatkan di PPS ke rumah.

Perkara itu didedahkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendakwa kejadian berlaku selepas PPS ditutup.