Cukai barangan mewah tidak jejas sektor pelancongan

Steven Sim ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Steven Sim ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cukai barangan mewah yang sedang diperincikan tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negara, menurut Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, peruncitan barangan mewah bukan tarikan utama pelancong ke Malaysia, sebaliknya mereka datang untuk melawat pusat pelancongan, melihat khazanah negara serta membeli kraf tangan tempatan.

"Pada masa sama, akan ada pelepasan cukai untuk pembelian barangan kraf tangan Malaysia. Jika kita melihat dari sudut itu, kita sebenarnya menggalakkan lebih ramai pelancong untuk datang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Beliau mengulas gesaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya kerajaan menimbangkan semula pelaksanaan cukai barangan mewah kerana akan menjejaskan tarikan pelancong yang ingin berbelanja di Malaysia.

Menurut Steven, pelaksanaan cukai itu bagi mengembangkan sumber kutipan cukai negara dan mewujudkan satu sistem percukaian lebih progresif tanpa mengetepikan impak dan kejutannya kepada industri.

"Kami sedang mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk sektor peruncitan dan pelancongan untuk melihat bagaimana impak dan kejutan kepada industri dapat dikurangkan,” katanya.

Steven berkata, cukai itu hanya terpakai kepada barangan yang diklasifikasikan sebagai barangan mewah dan tidak melibatkan barangan keperluan seperti makanan dan telefon bimbit.

Dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan untuk memperkenalkan cukai barangan mewah mulai tahun ini, dengan nilai tertentu terhad kepada jenis barangan termasuk jam tangan dan barangan fesyen bagi meningkatkan hasil negara. - Bernama