Halang tugas polis, lelaki dipenjara tiga bulan, denda RM1,500

Anggota polis mengiringi tertuduh keluar selepas mahkamah menjatuhi hukuman penjara.
Anggota polis mengiringi tertuduh keluar selepas mahkamah menjatuhi hukuman penjara.
A
A
A

JEMPOL- Seorang bekas pemandu van syarikat dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,500 di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana menghalang tugas penjawat awam pada minggu lalu.

Majistret, Norshazwani Ishak menjatuhkan hukuman itu selepas S Kannadasasan, 45, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 8 Mac lepas, jam 10.10 pagi di tepi jalan kawasan Ladang Bahau dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu pegawai polis daripada menjalankan fungsi awamnya.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan hendaklah dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda maksimum hingga RM10,000 atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Azizi Abdull Aziz.

Berdasarkan fakta kes, selepas kemalangan membabitkan sebuah motosikal di jalan perkampungan Felda Palong 4, 5 dan 6, pemandu van iaitu tertuduh telah melarikan diri ke arah Palong 7 dan 8.

Setibanya di simpang Felda Palong 6 dan 9, tertuduh telah berselisih dengan anggota Balai Polis Rompin yang ketika itu membuat rondaan, kemudiannya mengejar tertuduh sebaik mendapat hebahan mengenai kejadian.

Tertuduh telah diarahkan berhenti tetapi enggan berbuat demikian dengan bertindak memecut kenderaannya sebelum berjaya dipintas berhampiran Ladang Bahau.