Presiden Argentina dirawat di hospital

Alberto Fernandez - Foto AFP
Alberto Fernandez - Foto AFP
A
A
A

BUENOS AIRES - Presiden Argentina, Alberto Fernandez dibawa ke hospital swasta di tengah Buenos Aires selepas mengalami sakit pinggang yang teruk, menurut kenyataan daripada pasukan perubatannya pada Selasa.

Fernandez akan menjalani pemeriksaan untuk menentukan jenis rawatan yang diperlukannya, lapor Anadolu Agency memetik kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, orang ramai akan dimaklumkan mengenai perkembangan terkini kesihatan presiden.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Dr Federico Saavedra, yang menurut akhbar harian tempatan Infobae merupakan doktor peribadi Fernandez sejak lebih sedekad.

Pada Selasa, Fernandez menjalankan tugas dari kediaman rasminya di Quinta de Olivos di Buenos Aires, hari kedua berturut-turut beliau tidak berada di Casa Rosada atau istana presiden, menurut agensi berita Noticias Argentinas.

Fernandez mengalami masalah kesihatan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Semasa lawatan ke Bali, Indonesia untuk menghadiri sidang kemuncak G20 pada November tahun lepas, beliau mengalami gastrik erosif dan dirawat di hospital tempatan.

Pada April 2021, Fernandez dijangkiti coronavirus.

Pada Jun 2019 semasa prapencalonan parti politiknya, Frente de Todos menjelang pilihan raya presiden tahun itu, beliau dimasukkan ke hospital swasta selepas disahkan menghidap pleurisy, keradangan pada lapisan paru-paru yang biasanya menyebabkan sakit di bahagian dada. - Bernama