Mayat remaja perempuan ditemui disyaki dibunuh

No Image Caption
A
A
A

SANDAKAN - Mayat seorang remaja perempuan ditemui di kawasan semak dan berlumpur dipercayai dibunuh dalam kejadian di penempatan setinggan Kampung Forest dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10 pagi yang memaklumkan penemuan mayat seorang wanita di kawasan terbabit.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan yang diketuainya sendiri segera ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa ditemui dalam kawasan semak dan berlumpur manakala hasil pemeriksaan mendapati mangsa bukan warga tempatan dipercayai dibunuh.

"Pada jam 12.30 tengah hari di lokasi berhampiran, seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk tujuan bedas siasat.

"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

"Orang ramai juga diminta tidak menularkan gambar mayat mangsa kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan polis," ujarnya.