Penutupan bank AS beri impak kepada institusi kewangan APAC

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penutupan dua bank di Amerika Syarikat (AS) akan memberi impak yang terhad kepada kebanyakan institusi kewangan yang dinilai di Asia-Pasifik (APAC), kata Moody’s Investors Services.

Pengawal selia AS menutup Signature Bank, dua hari selepas menutup Silicon Valley Bank berikutan pengeluaran deposit secara besar-besaran, yang berkemungkinan akan mengakibatkan kecairan yang lebih ketat di pasaran hutang global apabila pelabur semakin berhati-hati.

"Impaknya adalah terhad kerana faktor struktur. Kebanyakan institusi APAC tidak terdedah kepada bank-bank AS yang gagal, dan hanya segelintir institusi yang mempunyai pendedahan yang tidak material.

"Pada akhirnya, kebanyakan institusi tidak terdedah kepada kerugian besar daripada pegangan sekuriti hutang seperti Silicon Valley Bank. Impak kedua daripada kegagalan bank AS itu masih dalam perkembangan dan ia perlu diperhatikan dengan teliti,” kata Moody’s dalam nota penyelidikannya hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, dari segi struktur pula, bank APAC yang dinilai mempunyai pembiayaan yang stabil dan kecairan yang mencukupi, serta kebanyakannya dibiayai melalui deposit pelanggan dengan pinjaman sederhana pada purata kira-kira 16 peratus daripada jumlah aset mereka.

Deposit perniagaan mereka juga dipelbagaikan dengan baik merentas sektor yang berbeza, tanpa bank yang dinilai di rantau ini mempunyai pendedahan besar kepada syarikat-syarikat teknologi.

Selain itu, deposit bank APAC secara amnya tidak banyak tertumpu kepada pelanggan tunggal.

"Kebanyakan bank di rantau ini tertakluk kepada keperluan nisbah liputan kecairan bertujuan memastikan bank memegang aset cair berkualiti tinggi yang mencukupi untuk melalui keadaan pembiayaan yang tertekan, seperti pengeluaran deposit," katanya.

Moody's berkata dalam kebanyakan sistem di APAC, pelaburan bank dalam instrumen dipegang hingga matang (HTM) secara amnya tidak besar berbanding dengan ekuiti biasa ketara, tidak seperti kes Silicon Valley Bank, yang mengalami kerugian besar tidak direalisasi daripada pelaburan HTM yang banyak.

"Pelaburan seperti ini tidak ditandakan dalam pasaran tetapi diukur dengan cara seperti apabila bank memutuskan untuk menjualnya disebabkan masalah kecairan. Ini bermakna bank mengalami kerugian apabila mereka menjual sekuriti HTM di tengah-tengah kenaikan kadar faedah. Kebanyakan sekuriti HTM adalah cair kerana ia boleh disimpan semula di bank pusat,” jelasnya.

Kerugian nilai saksama pada sekuriti HTM adalah sederhana bagi kebanyakan bank APAC walaupun dalam senario yang tidak mungkin berlaku yang mana bank perlu menjual sebahagian daripada portfolio HTM mereka kerana kenaikan kadar faedah APAC adalah kurang ketara dan kurang pantas berbanding di AS, kata firma penyelidikan itu. - Bernama