Yusoff mahu kembalikan kegemilangan UMNO di Petaling Jaya

Yusoff membuat 'come back' bagi merebut semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya pada pemilihan kali ini.
Yusoff membuat 'come back' bagi merebut semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya pada pemilihan kali ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Bekas Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Yusoff HM Haniff membuat 'come back' bagi merebut semula jawatan tersebut pada pemilihan kali ini.

Beliau bakal memberi cabaran kepada penyandang, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim dan seorang lagi calon, Jamaludin Razali.

Yusoff yang tewas pada 2018 beranggapan pemilihan pada kali ini penting buatnya untuk memperkukuh UMNO di Petaling Jaya.

Menurutnya, UMNO di Petaling Jaya bukan lagi parti yang dominan berbanding pesaing termasuk Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mahu mengembalikan kegemilangan parti tersebut dengan meletakkannya di kedudukan tertinggi.

"Pemimpin yang ada di Petaling Jaya tidak kompeten untuk mengurus sebuah parti besar seperti UMNO. Menguruskan parti UMNO yang besar ini, memerlukan jiwa yang besar.

"UMNO ada pasang surutnya dan kini berada di suasana surut. Jadi tindakan yang tidak betul boleh menyebabkan UMNO kehilangan orang muda termasuk puteri dan pemuda, " katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujar Yusoff, beliau akan menumpukan 10 perkara sekiranya diberikan mandat mengemudi UMNO Petaling Jaya, antaranya semua cawangan yang digantung akan dihidupkan semula dan sayap Pemuda, Puteri dan Wanita akan diaktifkan semula.

"Saya tidak mempunyai rekod yang tercalar dan terlibat dalam sebarang skandal. Walaupun saya orang lama, namun membuat kemunculan semula dengan semangat baharu.

"Saya mahu memberikan bimbingan kepada orang muda dalam UMNO supaya mereka dapat gambaran sebenar mengenai perjuangan UMNO.

"Pada saya, pemimpin lama dan baharu perlu seimbang dan tidak boleh diberikan sepenuhnya kepada orang muda. Jika buat begitu, UMNO boleh rosak," katanya yang telah bersama UMNO lebih 30 tahun.