Lelaki direman disyaki kemuka slip gaji palsu - SPRM

Pegawai SPRM mengiringi seorang lelaki (berbaju oren,kiri) ketika mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa. - Foto SPRM
Pegawai SPRM mengiringi seorang lelaki (berbaju oren,kiri) ketika mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa. - Foto SPRM
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki kerana disyaki mengemukakan penyata pendapatan palsu kepada sebuah pejabat kebajikan di daerah ini.

Lelaki berusia 39 tahun itu di tahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira jam 12 tengah hari Isnin dan direman selama lima hari bermula Selasa.

Menurut sumber, dia terbabit disyaki bertindak sedemikian bagi mendapatkan bantuan elaun pekerja cacat (EPC) atau Elaun Pekerja Kurang Upaya (EPOKU) sedangkan gaji sebenarnya melebihi daripada syarat kelayakan yang ditetapkan.

"Suspek yang kini tidak bekerja dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada sekitar tahun 2013 hingga 2022 bagi mendapatkan bantuan EPC/EPOKU sebanyak RM300 hingga RM450 sebulan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.