Kerajaan pastikan kualiti khidmat kehakiman ditahap terbaik

Ramkarpal Singh (dua, kiri berdiri) bersama tetamu kehormat semasa Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada Selasa.
Ramkarpal Singh (dua, kiri berdiri) bersama tetamu kehormat semasa Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan sentiasa memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kehakiman berada di tahap yang terbaik melalui Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU-JPM).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, beliau percaya infrastruktur fizikal mahkamah yang kondusif merupakan antara faktor memacu kualiti penyampaian perkhidmatan kehakiman agar sentiasa berada di peringkat yang terbaik dan setanding dengan badan kehakiman negara-negara maju lain.

"Seperti yang kita maklum, sebagai organ pentadbiran negara yang bertanggungjawab untuk mendukung prinsip kedaulatan undang-undang, badan kehakiman sentiasa memastikan akses kepada keadilan adalah tersedia pada setiap masa.

"Dalam konteks Kompleks Mahkamah Kota Bharu yang cantik ini, ia menggantikan bangunan mahkamah lama yang tidak lagi kondusif," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini pada Selasa.

Perasmian tersebut disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Menurut beliau, secara ringkasnya, Kompleks Mahkamah Kota Bharu dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 2.72 hektar dan dilengkapi dengan 13 bilik bicara yang merangkumi tiga bilik bicara Mahkamah Tinggi, lima bilik bicara Mahkamah Sesyen dan lima bilik bicara Mahkamah Majistret.

Ujarnya, bangunan itu turut dilengkapi dengan bilik sokongan seperti kamar hakim, bilik persidangan, bilik mesyuarat, perpustakaan, kafeteria dan surau.

"Operasi mahkamah di kompleks ini adalah menggunakan sistem teknologi maklumat terkini termasuk sistem Court Recording and Voice to Text (RVT) serta dilengkapi dengan internet jalur lebar berkelajuan tinggi bagi penggunaan pegawai serta kakitangan mahkamah.

"Keseluruhan pembangunan dan pembinaan kompleks ini melibatkan belanja sebanyak RM94.4 juta," katanya.

Tambahnya, lebih membanggakan, kompleks mahkamah ini telah berjaya disiapkan setahun lebih awal daripada tempoh kontrak yang telah ditetapkan dengan Sijil Siap Bina bangunan diperoleh pada 15 Mei 2019 manakala majlis penyerahan projek telah pun disempurnakan pada 23 Julai 2019.