Pekerja 61 tahun ke atas masih boleh mencarum Perkeso

Sivakumar (kiri) menyerahkan faedah Perkeso kepada balu mendiang Eng Dong ketika menziarahi keluarga berkenaan di Selayang pada Selasa.
Sivakumar (kiri) menyerahkan faedah Perkeso kepada balu mendiang Eng Dong ketika menziarahi keluarga berkenaan di Selayang pada Selasa.
A
A
A

SELAYANG – Kesedaran majikan terus mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) buat pekerjanya yang sudah melewati usia 61 tahun melayakkan pekerja berkenaan mendapat perlindungan diri.

Pemandu lori, Lee Eng Dong, 61, yang meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu sedang bertugas telah melayakkan balu, Edna Hipolito Amos, 58 serta empat anaknya menerima bantuan kewangan daripada Perkeso.

Dalam kejadian 15 Februari lalu, kemalangan membabitkan treler dengan Perodua Myvi dan lori yang dipandu Eng Dong di Kilometer 266.5 Lebuhraya Utara Selatan telah menyebabkan mangsa cedera serta tidak sedarkan diri.

Beliau dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak untuk menerima rawatan.

Selepas 12 hari bertarung nyawa, pada 27 Februari lalu, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kesan kecederaan parah di kepala (septic shock with underlying severe traumatic brain injury) berpunca daripada kemalangan tersebut.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, pihaknya menyeru majikan mencarum untuk pekerja mereka yang berumur lebih 60 tahun demi perlindungan diri jika terjadi musibah berkaitan pekerjaan.

"Di bawah Akta 4, majikan perlu membayar Caruman Jenis Kedua bagi pekerja yang berumur lebih 60 tahun, iaitu sebanyak 1.25 peratus daripada gaji bulanan pekerja tersebut, untuk perlindungan Skim Bencana Pekerjaan," katanya ketika menziarahi waris Eng Dong di kediaman mereka di Selayang pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Bahagian Sinergi, Encik Rahmat Ismail dan Pengarah Perkeso Kuala Lumpur, Asri Ngosman.

Orang tanggungan Eng Dong layak mendapat faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Balu dan anak mendiang yang berusia bawah 21 tahun layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM3, 735 sebulan.

Dalam pada itu, Sivakumar menasihatkan majikan dan pekerja untuk membudayakan amalan

pencegahan kemalangan di tempat kerja mahupun di jalan raya.

"Pada tahun lalu, 45.7 peratus daripada 70,948 jumlah kemalangan pekerjaan yang dilaporkan kepada Perkeso ialah melibatkan kemalangan jalan raya.

"Dalam tempoh tersebut, 70 peratus (651 kes) daripada 929 kemalangan maut melibatkan pekerja yang dalam perjalanan atau berulang-alik ke tempat kerja," katanya.