Selangor tambah baik infra, hadapi perubahan iklim tidak menentu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor berdepan impak perubahan iklim yang tidak menentu menerusi beberapa kejadian banjir kilat, ribut dan tanah runtuh yang menjejaskan aktiviti pembangunan dan sosio ekonomi rakyat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, bencana alam akan memberi kesan terhadap ekonomi dan hasil negeri.

Menurutnya, terdapat keperluan kerajaan negeri menyediakan satu pendekatan tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi meningkatkan daya tahan infrastruktur dan bangunan, jaminan makanan dan juga masyarakat setempat.

"Susulan daripada kejadian bencana yang kerap berlaku ini, kerajaan negeri telah mengambil tindakan segera dengan menambah baik dan menaik taraf infrastruktur asas khususnya bagi menangani banjir.

" Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) telah membuat perancangan pengurusan banjir seperti pembinaan ban banjir, pembinaan kolam takungan banjir, Program Ramalan Amaran Banjir Negara (PRAB), Kajian Pengurusan Lembangan Sungal Bersepadu (IRBM) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (IFMP) serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA), " katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan mulut daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkenaan jenis projek dan peruntukan bagi mitigasi efek perubahan iklim yang telah diluluskan di peringkat pusat dan negeri dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Loy Sian berkata, kerajaan negeri telah meluluskan Peruntukan Pembangunan Negeri (P13) kepada JPS sebanyak RM556.6 juta.

"Daripada peruntukan tersebut, sebanyak 44 peratus (RM245. 86 juta) untuk Pembangunan Projek Tebatan Banjir.

"Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM455.2 juta kepada JPS untuk melaksanakan empat projek tebatan banjir di Sungai Kayu Ara, Sungai Buloh, Sungai Langat dan Sungai Kuyoh," katanya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan menerusi RMK12 turut menyediakan peruntukan pembangunan bagi projek di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang dilaksanakan di negeri Selangor antaranya projek tebatan banjir, pembangunan sistem saliran dan lembangan sungai.

Katanya, di bawah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan iklim dan Teknologi Hijau Negeri Selangor pula, peruntukan bagi inisiatif dan langkah mitigasi dan adaptasi dalam mengurangkan impak perubahan iklim turut disediakan babitkan jumlah peruntukan diluluskan sebanyak RM3. 6 juta.