Kejayaan Michelle Yeoh sangat membanggakan - Fahmi

Michelle Yeoh memenangi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscars) ke-95. - Foto EPA
Michelle Yeoh memenangi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscars) ke-95. - Foto EPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh atas kejayaan memenangi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscars) ke-95 menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Fahmi menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau pada Isnin menyifatkan kejayaan pelakon kelahiran Ipoh, Perak pada majlis berprestij tersebut sebagai sangat membanggakan.

"Tahniah buat Tan Sri Michelle Yeoh atas kejayaan yang sangat membanggakan,” katanya yang berkongsi hantaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Dalam hantaran itu, FINAS turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas buat Yeoh selepas mencipta detik bersejarah merangkul anugerah tersebut.

"Kejayaan ini sekali gus mencipta rekod sebagai bintang Asia pertama meraih trofi bagi kategori itu dalam sejarah Oscars,” menurut FINAS.

Yeoh, 60, menewaskan empat pencabar lain bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik iaitu Cate Blanchett (Tar), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle Williams (The Fabelmans).

Pada Januari lepas, Yeoh muncul sebagai pelakon Malaysia pertama meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe di Los Angeles, Amerika Syarikat untuk filem yang sama. - Bernama