Penganggur rasuah polis dipenjara sebulan, gagal bayar denda

Suresh dibawa Mahkamah Sesyen pada Isnin - Gambar/ Astro AWANI
Suresh dibawa Mahkamah Sesyen pada Isnin - Gambar/ Astro AWANI
A
A
A

IPOH - Padah menghulur rasuah sebanyak RM200 kepada anggota polis, seorang penganggur didenda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu minggu lepas.

Bagaimanapun tertuduh, N Suresh Rao, 45, diarah menjalani hukuman penjara sebulan di Penjara Tapah kerana gagal membayar denda tersebut.

Terdahulu, Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas Suresh Rao, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan dan mengarahkannya dipenjara sebulan dari tarikh tangkap jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Suresh Rao didakwa melakukan perbuatan berkenaan dengan menghulurkan wang tunai berjumlah RM200 kepada Koperal Raja Mohamad Yusoff Raja Shariffudin di hadapan sebuah kedai di Jalan Persiaran Batu Gajah Perdana 1, Batu Gajah, kira-kira jam 6 petang, 7 Mac lepas.

Ia sebagai dorongan untuk tidak melakukan tangkapan ke atasnya kerana mempunyai rekod pesalah yang dikehendaki polis berkait 'Kepong Report 00010118/14'.

Perbuatan itu telah menghalang tugas awam dan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah RM200 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama