Yee Fatt dedah punca Penang tumbang di Stadium Bandaraya

Pemain Penang, Rafael Vitor meraikan jaringan gol pada perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Bandaraya pada Ahad.
Pemain Penang, Rafael Vitor meraikan jaringan gol pada perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Bandaraya pada Ahad.
A
A
A

PENGENDALI Penang FC, Chong Yee Fatt menyifatkan ketumpulan bahagian penyudah menyaksikan tuan rumah terpaksa berputih mata ketika tewas 1-2 kepada Selangor FC pada Ahad.

Jelasnya, pemain Penang berjaya mencipta peluang dalam perlawanan itu, namun pada pengakhiran setiap peluang gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan untuk tuan rumah.

"Senario tidak hanya berlaku dalam perlawanan menentang Selangor, tetapi juga perlawanan sebelum ini.

"Saya berharap dalam baki perlawanan selepas ini masalah ketumpulan penyudah ini dapat diatasi pemain.

"Selain itu juga Selangor tampak lebih segar apabila memiliki masa rehat lebih awal berbanding Penang yang baru mengharungi perlawanan Piala FA sebelum ini.

"Situasi ini sedikit sebanyak beri kesan kepada persembahan Penang yang berdepan kecederaan dan penggantungan pemain," katanya.

Pada perlawanan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang itu, Selangor terlebih dulu mendahului menerusi Ayron de Valle pada minit ke-24, sebelum Penang bangkit menyamakan kedudukan melalui Rafael Vitor (m-87).

Namun Noor Al-Rawabdeh muncul wira pelawat apabila meledak gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Mengulas mengenai tekanan tanpa sebarang kemenangan selepas mengharungi empat perlawanan, Yee Fatt berkata:

"Tekanan? Tipulah sekiranya saya tiada tekanan...

"Tekanan sebenarnya terutama apabila pasukan beraksi di laman sendiri selepas mengharungi empat perlawanan dengan dua mata, bukan sesuatu yang baik.

"Namun pada pengakhirannya saya bangga dengan pemain Penang FC, dan kami memandang ke hadapan untuk perlawanan seterusnya."