Awesome TV fail saman tuntutan terhadap Pensil Pictures

Awesome TV memfailkan tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran terhadap syarikat Pencil Pictures Januari lalu.
Awesome TV memfailkan tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran terhadap syarikat Pencil Pictures Januari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Awesome TV memfailkan saman tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan bernilai RM162,192 terhadap syarikat Pencil Pictures Sdn Bhd kerana gagal memenuhi syarat kontrak penerbitan sebuah drama bersiri bertajuk 'Di Sebalik Dia' berjumlah 28 episod.

Awesome TV dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya terlebih dahulu memfailkan tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran terhadap syarikat Januari lalu.

“Untuk rekod, syarikat milik Datuk Ayu Puteh, 45, iaitu Pencil Pictures Sdn Bhd telah hanya menyiapkan 26 daripada 28 episod yang dijanjikan seperti termaktub di dalam kontrak bersama.

“Dua lagi episod gagal disempurnakan pihak Datuk Ayu, dan kesemua 26 episod yang disiapkan dihantar lewat kepada pihak Awesome TV dan tidak mengikut tarikh yang dipersetujui,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kontrak ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada Awesome TV yang terpaksa membuat penjadualan semula program secara drastik.

“Kelewatan pihak Datuk Ayu juga telah mengakibatkan pelbagai komplikasi dengan pihak pengiklan Awesome TV.

“Pihak Awesome TV tidak mempunyai pilihan selain daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Pencil Pictures Sdn Bhd pada Januari mengikut terma kontrak yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya

Jelas kenyataan itu, pihak Awesome TV kini menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada proses perundangan untuk tindakan selanjutnya.

Datuk Ayu Puteh pada 10 Mac lalu telah memfailkan saman terhadap stesen Awesome TV selepas menerima surat tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran.