'Kami tak risau kemarau gol Faisal Halim'

Pemain Selangor, Noor Al-Rawabdeh (kiri) meraikan jaringan gol pada perlawanan Liga Super menentang Penang di Stadium Bandaraya, pada Ahad.
Pemain Selangor, Noor Al-Rawabdeh (kiri) meraikan jaringan gol pada perlawanan Liga Super menentang Penang di Stadium Bandaraya, pada Ahad.
A
A
A

KEMARAU gol Faisal Halim bersama pasukan baharunya masih berterusan hingga perlawanan keempat Liga Super selepas Selangor FC menewaskan Penang FC, 2-1 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Ahad.

Namun begitu pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe yang tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepada bekas mesin gol Terengganu FC (TFC) musim lalu itu tetap tenang percaya pemain lincah tersebut tetap menyumbang sesuatu kepada Gergasi Merah berkenaan.

"Kami barisan kejurulatihan tidak terlalu risau mengenai Faisal Halim sama ada dia menjaringkan gol atau tidak, tapi yang penting sumbangan dia kepada pasukan Selangor cukup penting.

"Pada perlawanan menentang Penang FC, dia memberikan bantuan gol untuk Ayron del Valle jaringan pertama pasukan Selangor, itu sumbangan terbaiknya dalam memastikan tiga mata walaupun dia tidak menjaringkan gol.

"Jadi kami tidak terlalu menekan kepada Faizal Halim untuk menjaringkan gol, sebaliknya paling penting kemenangan buat pasukan Selangor," katanya.

Pada perlawanan itu Selangor terlebih dulu mendahului menerusi Ayron de Valle pada minit ke-24, sebelum Penang bangkit menyamakan kedudukan melalui Rafael Vitor (m-87).

Namun Noor Al-Rawabdeh muncul wira pelawat apabila meledak gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Cheng Hoe.

Mengenai persiapan berdepan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Jumaat ini, Cheng Hoe berkata, pemain-pemain Gergasi Merah teruja untuk berdepan juara sembilan kali berturut-turut liga tersebut.

"JDT adalah JDT... mereka memiliki pemain yang bagus selain pasukan yang cukup berpengalaman begitu juga kemampuan bahagian serangan sebarang pemain mampu menjaringkan gol.

"Ini merupakan cabaran kepada pemain-pemain, dan saya percaya setiap pasukan yang berdepan JDT cukup bermotivasi untuk memberikan yang terbaik termasuk Selangor.

"Namun sebagai persediaan berdepan JDT, kami harus lebih fokus melakukan kerja rumah selain kembali memulihkan prestasi kerana bermain di sebelah petang dengan cuaca panas yang agak meletihkan. Dan saya yakin Selangor mampu beri saingan dengan kualiti pemain sedia ada pada masa ini," katanya.