Sri Pahang, Sabah sama kuat di Kuantan

Pemain Sri Pahang FC Stefano Brundo (kanan) diasak oleh pemain Sabah FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Darul Makmur malam ini. - Foto Bernama
Pemain Sri Pahang FC Stefano Brundo (kanan) diasak oleh pemain Sabah FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Darul Makmur malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

SRI Pahang FC dan Sabah FC berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Ahad.

Anak buah Fandi Ahmad dan Datuk Ong Kim Swee tampil dengan misi melebarkan jurang mata tampak lebih berwaspada dalam mengatur gerak dengan pelbagai cubaan bagi memecah kebuntuan gol.

Namun The Rhinos terlebih dulu memimpin perlawanan hasil jaringan minit ke-14, Daniel Ting yang menyudahkan hantaran Ko Kwang Min menewaskan penjaga gol Izham Tarmizi.

Tersentak dengan jaringan itu, Tok Gajah kembali memperkemaskan permainan akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-25.

Gol terhasil daripada rembatan kencang Kpah Sherman yang menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim Chien Khai.

Separuh masa kedua, Sri Pahang dan Sabah cuba menokok jaringan dalam usaha mengutip tiga mata berharga.

Namun ianya berakhir dengan kebuntuan menyaksikan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat ditiup.

Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang mengumpul enam mata hasil satu kemenangan dan tiga seri untuk berada di tangga keempat liga selepas mengharungi empat perlawanan.

Sementara itu, Sabah kekal di kedudukan kedua liga dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri selepas mengharungi empat perlawanan.