'Projek baharu' buru emas Olimpik

Hannah (tengah) dan Norza (empat dari kiri) ketika sidang akhbar pembentukan Jawatankuasa Road to Gold di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad.
Hannah (tengah) dan Norza (empat dari kiri) ketika sidang akhbar pembentukan Jawatankuasa Road to Gold di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak pernah jemu merangka pelbagai program dalam usaha menghadiahkan pingat emas pertama Sukan Olimpik kepada rakyat Malaysia.

Berbaki kira-kira setahun sebelum temasya Sukan Olimpik Paris 2024, KBS tampil dengan ‘projek baharu’ bagi membentuk Pasukan Projek Road to Gold.

Objektif pembentukan Jawatankuasa Road to Gold itu adalah bagi menyelaras usaha meraih pingat emas sulung Olimpik di Paris 2024, mahupun Los Angeles 2028.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pasukan projek itu yang terdiri daripada bekas atlet dan beberapa individu berwibawa dalam arena sukan akan memberi tumpuan kepada persediaan atlet negara.

Menurutnya, program meliputi latihan harian, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan per-ubatan serta program bina diri.

“Jawatankuasa ini akan memperkasakan Program Podium sedia ada diketuai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) melalui pemantauan kementerian.

“Ini akan mengukuhkan lagi jawatankuasa yang ada bagi memberi fokus menghapuskan sekatan, mengatasi had sedia ada dan menyediakan sokongan tambahan untuk bakal pemenang pingat negara.

“Sokongan tambahan diperlukan akan disesuaikan mengikut keperluan setiap individu berpotensi melalui konsultasi dengan atlet dan jurulatih masing-masing serta tidak terhad sokongan fizikal sahaja.

“Keperluan ini akan diberikan tertakluk kepada semakan berkala dan komitmen daripada atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat (pada Sukan Olimpik),” katanya dalam sidang akhbar Penubuhan Jawatankuasa Road to Gold di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.

Jawatankuasa Road to Gold dipengerusikan bersama Hannah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, dibantu oleh lapan ahli jawatankuasa yang dilantik secara sukarela.

Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran; Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Mohd Ramli turut dilantik ahli jawatankuasa itu.

Turut serta dalam Jawatankuasa Road to Gold ialah Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak dan dua legenda sukan tanah air - Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Mirnawan Nawawi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pula dilantik Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, manakala ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David sebagai timbalannya.

Ahli Lembaga Pengurusan MSN yang juga CEO Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam dan CEO Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai, masing-masing dilantik penyelaras dan pembantu penyelaras projek itu.

“Ini (pembentukan Jawatankuasa Road to Gold) satu tindakan proaktif, berani untuk menterjemahkan inspirasi rakyat Malaysia yang inginkan pingat emas Olimpik. Ini aspirasi terbaik merealisasikan misi itu,” jelas Norza.