[VIDEO] 'Saya terbuka terima siapa sahaja' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kanan) tiba di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat pada Ahad.
Ahmad Zahid (kanan) tiba di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terbuka untuk menerima siapa sahaja calon yang dipilih dalam pemilihan UMNO yang sedang berlangsung.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, semua calon yang dipilih kelak bakal menjadi sebuah pasukan yang akan membantu parti terutama bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ini.

Justeru, beliau menegaskan semua pihak perlu melupakan sengketa dan berazam serta bekerja keras untuk mengukuhkan UMNO.

"Bagi pemilihan di peringkat sayap, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kita akan saksikan sama ada muka baharu atau lama yang akan dipilih.

"Oleh itu, saya akan terima siapa sahaja pemimpin yang akan dipilih perwakilan untuk bersama-sama mengukuhkan parti. Saya harap semua berazam dan kerja keras untuk parti.

"Paling penting, kita lupakan sengketa selepas pemilihan di semua peringkat dan kembali semula dalam satu pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Calon Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO peringkat negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pemilihan sayap yang berlangsung pada Sabtu memperlihatkan sikap kenegerian berjaya diketepikan.

"Kita juga dapati bukan kerana faktor umur sahaja tetapi golongan yang muda profesional tetap dipilih untuk jadi pelapis kepada kepimpinan parti

"Biar apa pun yang dikata penganalisis politik, kita dapati apabila jawatan di peringkat bahagian dan nasional dipertandingkan, lebih ramai yang menawar diri berbanding pemilihan 2018. Ia memperlihatkan demokrasi dalam UMNO tetap disuburkan dengan ramai tawar diri," katanya.

Mengenai cadangan Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Dr Muhamad Akmal Salleh mengenai had umur maksimum jawatan tertinggi sayap Pemuda ditetapkan pada 40 tahun, beliau berkata, perkara itu perlu dibincangkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO sebelum ini, saya pun memberikan pandangan begitu. Tetapi akhirnya perbincangan mesti diadakan dengan pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan dan dibawa ke MKT sebelum mendapat kelulusan Perhimpunan Agung UMNO.

"Apa pun, UMNO sangat terbuka dengan apa juga cadangan yang positif untuk parti," katanya.