Sultan Kedah minta negeri, persekutuan kekal profesionalisme

Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli memeriksa perbarisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, DUN Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli memeriksa perbarisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, DUN Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mahu tahap profesionalisme yang tinggi di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan diteruskan, selain perbincangan dalam menjayakan agenda pembangunan digiatkan demi kebaikan bersama.

Titah baginda, keharmonian hubungan di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan penting agar fokus kerajaan terhadap penyelesaian isu dan permasalahan rakyat tidak terjejas.

"Elak berpolitik secara berlebihan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperoleh manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14, tahun 2023 di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.

Berangkat sama, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin bertitah, dalam menilai kadar inflasi yang saban tahun menunjukkan peningkatan, maka sebahagian daripada kadar pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri perlu dikaji semula dan ditetapkan dengan satu kadar baharu yang lebih relevan mengikut situasi masa kini.

"Sebagai contoh, kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) di bawah Fasal (1)(a) Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan yang kali terakhir dipinda adalah pada 20 tahun yang lepas melalui Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2002 [Akta 622].

"Oleh itu, kerajaan negeri hendaklah sentiasa peka dan proaktif dalam bertindak demi kepentingan negeri terutamanya yang melibatkan hak sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan," titah baginda.