TFC akhiri kemarau kemenangan

Pemain TFC, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (dua, kanan) diasak dua pemain PDRM pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
Pemain TFC, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (dua, kanan) diasak dua pemain PDRM pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) akhirnya melakar kemenangan sulung Liga Super selepas menang tipis 1-0 ke atas PDRM yang beraksi dengan 10 pemain di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, pada Sabtu.

Pada pertembungan itu, kedua-dua pasukan yang tampil dengan permainan berintensiti tinggi terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Namun The Cops terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung babak pertama selepas penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid dilayangkan kad merah kerana mengasari penyerang tuan rumah, Jordan Mintah.

Situasi itu memaksa pengendali PDRM, Azzmi Aziz membuat pertukaran dengan mengorbankan pemain tengah, Kyaw Min Oo untuk membawa masuk penjaga gol gantian, Willfred Jabun bagi mengharungi baki 45 minit kedua perlawanan.

Beraksi dengan 10 pemain ternyata memberi kesan kepada PDRM yang bertungkus lumus mempertahankan gawang daripada dibolosi, namun TFC tetap berjaya meledak gol kemenangan menerusi Sardor Kulmatov pada minit ke-76.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menghadiahkan tiga mata buat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner untuk Sang Penyu memanjat keluar daripada kedudukan tercorot ke posisi keenam liga dengan mengumpul empat mata manakala PDRM berkongsi mata sama di tempat ketujuh.