Penang FC mahu langgar Gergasi Merah

Penang FC sedia melakar kejutan ke atas Selangor FC dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Penang FC sedia melakar kejutan ke atas Selangor FC dalam aksi Liga Super pada Ahad.
A
A
A

PENANG FC bersedia untuk mengejutkan pasukan gergasi, Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

Pengendali Penang FC, Chong Yee Fatt berkata, pasukan itu sudah bersedia sepenuhnya menghadapi Gergasi Merah sekali gus mencari kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurutnya, kejayaan menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Piala FA pada Rabu akan turut menjadi azimat utama buat pasukan dari utara itu membenam kelebihan yang dimiliki Selangor FC.

"Ia sememangnya perlawanan sukar dan kita tahu kualiti yang dimiliki Selangor apabila mereka sudah berjaya meraih dua kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Super.

"Namun, kami sudah bersedia untuk menghadapi mereka selain juga berharap momentum ketika lawan Kedah akan dapat diteruskan untuk menumbangkan Selangor dan mencatat kemenangan pertama musim ini," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Penang FC setakat ini masih belum berjaya melakar kemenangan dalam saingan Liga Super dengan dua keputusan seri kepada Kuala Lumpur City FC dan Negeri Sembilan FC selain tewas kepada Kelantan FC pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, Yee Fatt turut akan membuat beberapa perubahan dan akan menilai tahap kecergasan pemain sebelum menyenaraikan dalam kesebelasan utama.

Beliau berkata, terdapat beberapa pemain yang keletihan selepas perlawanan menentang KDA yang berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti.

"Disebabkan ada pemain Penang (Christian Rontini) yang dapat kad merah semasa menentang Kelantan FC selain beberapa pemain yang keletihan, jadi saya fikir mungkin ada sedikit perubahan dalam kesebelasan utama.

"Kami masih memantau tahap kecergasan pemain, namun saya percaya semua pemain sedia beraksi dan mencari kemenangan," katanya.