Hon Jian-Sze Fei intai gelaran sulung di Thailand

Choong Hon Jian-Goh Sze Fei
Choong Hon Jian-Goh Sze Fei
A
A
A

BEREGU lelaki baharu sensasi negara, Choong Hon Jian-Goh Sze Fei, mara ke perlawanan akhir kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Thailand 2023 di Nakhon Ratchasima pada Sabtu.

Hon Jian-Sze Fei mempamerkan persembahan bertenaga untuk mengatasi pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-15, 21-16 dalam masa 31 minit pada aksi separuh akhir.

Pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan kelapan itu akan menentang pilihan pertama dari Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Nanthakarn Yordphaison, dalam perebutan gelaran juara esok.

Kejayaan itu menyaksikan mereka yang menjadi wakil tunggal negara meneruskan cabaran, sekali gus berpelung merangkul kejuaraan sulung mereka sejak digandingkan.

Sebagai rekod, Hon Jian-Sze Fei digandingkan susulan rombakan yang dibuat dalam skuad beregu lelaki negara selepas perpisahan Nur Izzuddin Rumsani-Sze Fei pada hujung Januari lalu.

Antara kejayaan Sze Fei bersama Nur Izzuddin ialah menjuarai Terbuka Jerman 2022, memenangi pingat emas Kejohanan Berpasukan Asia 2022 dan naib juara Terbuka Switzerland 2022.