Noraini masih lagi dahului Shahrizat

Noraini (kanan) dan Shahrizat (kiri) merupakan calon yang akan bertanding untuk jawatan Ketua Wanita UMNO. - Foto Bernama
Noraini (kanan) dan Shahrizat (kiri) merupakan calon yang akan bertanding untuk jawatan Ketua Wanita UMNO. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Noraini Ahmad masih lagi mendahului saingan pemilihan parti bagi jawatan Ketua Wanita UMNO.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi pada jam 10.18 malam, Noraini mendahului dengan 30 undi berbanding pencabarnya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil iaitu 22 undi.

Begitu juga, penyandang Naib Ketua Wanita UMNO, Norliza Abdul Rahim yang juga mendahului pencabar lain dengan 36 undi dalam persaingan bagi merebut jawatan nombor dua sayap itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh masih lagi mendahului tiga pencabar dengan 39 undi dalam saingan pemilihan parti bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Selain daripada itu, anak kepada Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham mendahului tiga pencabar lain dengan 27 undi bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO.

Sementara itu, Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi pula mendahului dengan 50 undi berbanding lima pencabar lain bagi jawatan Ketua Puteri UMNO.

Di samping itu, Exco Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin mendahului tiga pencabar lain dengan 62 undi bagi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO.

Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 bermula pada hari ini dengan proses pengundian para perwakilan seluruh Malaysia.

Para perwakilan akan mengundi untuk memilih calon terbaik bagi mengemudi bahtera Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di bahagian masing-masing serta pusat.

Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, seramai tujuh orang calon menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (12), Ketua (4), Naib Ketua (4) dan 113 jawatan EXCO.

Untuk sayap Wanita UMNO, seramai dua calon mempertandingkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (4), Ketua Wanita UMNO (2), Naib Ketua Wanita UMNO (2) dan 61 bagi jawatan EXCO.

Paling mencuri tumpuan adalah pertandingan bagi kerusi Ketua Wanita UMNO yang menyaksikan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, akan dicabar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula setelah melepaskan jawatan itu pada 2018

Bagi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pula, dua orang calon menawarkan diri bagi jawatan Pengerusi Tetap, dua Timbalan Pengerusi Tetap, enam untuk Ketua, tiga Naib Ketua dan 42 calon bagi jawatan Exco.