Tengku Ahmad Fareez dipilih terajui Pemuda UMNO Kuantan

Tengku Ahmad Fareez
Tengku Ahmad Fareez
A
A
A

KUANTAN - Tengku Ahmad Fareez Tengku Zulkifly, 32, dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan baharu sempena Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian itu di sini pada Sabtu.

Bekas ahli jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian itu menang dalam saingan tiga penjuru berdepan penyandang, Md Jamil Pauzi dan seorang lagi pencabar, Abdul Hafiz Mad Radzi.

Naib Ketua Pemuda dimenangi Mohamad Irfan Mohd Zamri juga dalam saingan tiga penjuru.

Tengku Ahmad Fareez berkata, amanah yang dipikul itu satu cabaran baginya terutama dalam situasi sokongan anak muda kepada UMNO yang merosot ketika ini.

Menurutnya, tugas itu akan dilaksanakan sebaik mungkin kerana dia yang menawarkan diri untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

"Saya bersama rakan-rakan akan bekerja sebagai satu pasukan untuk bersama pimpinan bahagian memperkuatkan parti dengan wajah baharu.

"Kami akan terus merangka gerak kerja terutama dalam usaha menarik anak muda kembali dan kekal bersama UMNO.

"Perubahan amat perlu supaya golongan muda nampak hala tuju dan perjuangan yang kita bawa bagi meyakinkan mereka untuk kembali bersama UMNO," katanya.