Hannah akan bantu Zii Jia

Zii Jia - Foto AFP
Zii Jia - Foto AFP
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan mengadakan pertemuan dengan Lee Zii Jia bagi melihat bantuan boleh diberikan kepada pemain perseorangan lelaki profesional negara itu susulan prestasi yang kurang memuaskan ketika ini.

Hannah memaklumkan sudah menghubungi Zii Jia dan pemain nombor empat dunia itu telah bersetuju untuk mengadakan perjumpaan apabila pulang ke Malaysia.

"Saya sudah hubungi Zii Jia selepas keputusan perlawanan terakhir dan beritahu akan berjumpa dengannya apabila dia balik nanti.

"Dalam pertemuan sebelum ini dengan Zii Jia, memang kita dah bincangkan sedikit mengenai bantuan boleh diberikan kepadanya. Saya akan sentuh perkara ini dalam sidang media esok (pengumuman penubuhan Jawatankuasa Road to Gold)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Aplikasi AFA di Petaling Jaya pada Sabtu.

Prestasi Zii Jia terus dilihat merosot apabila tewas kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hao, 21-15, 20-22, 21-23 di pusingan kedua Terbuka Jerman pada Khamis lalu.

Ia menyaksikan juara All England 2021 itu masih gagal melangkah ke suku akhir tahun ini selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia dikuti pusingan kedua masing-masing pada Terbuka India dan Masters Indonesia.

Selepas kekalahan kepada Chia Hao, Zii Jia turut memuat naik hantaran dengan perkataan tidak sepatutnya di Instagram miliknya.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Hannah kurang bersetuju dengan tindakan Zii Jia yang memuat naik hantaran tersebut, namun memahami perasaan pemain itu apabila berdepan situasi sukar.

"Baru-baru ini saya bercakap tentang bagaimana atlet menjadi sumber inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia dan bagaimana mereka dipandang tinggi.

"Tetapi pada masa yang sama, kita harus ingat bahawa (prestasi) atlet ada turun naik. Saya tidak mahu berada dalam kedudukan di mana saya berkata, 'anda tidak sepatutnya begitu, apabila anda kalah dalam perlawanan'.

"Saya mahu menyediakan infrastruktur sokongan untuk atlet kita. Beberapa perkara yang kita lihat ialah latihan media sosial dan latihan kekuatan mental. Kita melihat sukan sebagai aktiviti riadah, tetapi bagi mereka (atlet profesional) itu adalah tugas mereka.

"Saya mahu menunjukkan empati dan membantu mereka lebih baik. Saya tahu ada banyak ruang untuk diperbaiki, sebab itu saya mahu bertemu Zia Jia apabila dia kembali," katanya.