Pendapatan peserta empower MNE Kelantan melonjak 6 kali ganda

Empat usahawan terbaik bagi Program Reskilling & Upskilling: empower ECER Micro/New Entrepreneurship Development 2022 bergambar bersama Ahmad (tengah) di Majlis Apresiasi, pada Khamis.
Empat usahawan terbaik bagi Program Reskilling & Upskilling: empower ECER Micro/New Entrepreneurship Development 2022 bergambar bersama Ahmad (tengah) di Majlis Apresiasi, pada Khamis.
A
A
A

SERAMAI 150 peserta Program Reskilling & Upskilling: empower ECER Micro/New Entrepreneurship Development 2022 (MNE) dari setiap daerah iaitu Tumpat dan Gua Musang diraikan dalam Majlis Apresiasi di sini, pada Khamis.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat.

Program yang telah bermula pada April hingga Oktober 2022 itu telah menawarkan empat kursus iaitu Food Preneur, Jahitan, Mobile Spa dan Mobilegrafi & Digital Pemasaran.

Pada majlis tersebut, empat usahawan telah dipilih sebagai peserta terbaik bagi mewakili kursus yang ditawarkan iaitu Zulkifli Aftarular dari kursus Food Preneur, Wan Nur Aqila Wan Roslan (Jahitan, Che Siti Roslaini Che Roslan (Mobile Spa) dan Rohani Shah Mustapha (Mobilegrafi dan Digital Pemasaran).

Pemilihan dibuat berdasarkan kepada peningkatan pendapatan tertinggi yang berjaya diraih selepas mengikuti program empower ECER dengan kesemua mereka telah meraih peningkatan pendapatan sebanyak tiga kali ganda.

Rohani yang hanya meraih pendapatan RM800 telah meningkat kepada RM5,199.30 selepas menyertai program berkenaan.

Begitu juga Che Siti Roslaini yang berjaya meningkat pendapatan kepada RM3,600 berbanding hanya RM1,000 sebelum menyertai program.

Program MNE sebagai salah satu projek usaha sama antara ECERDC dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menyasarkan kepada golongan B40, telah terbukti memberi manfaat kepada semua usahawan terpilih.

Sepanjang program berlangsung, para usahawan telah diberi latihan program pembangunan secara percuma, kit pemula perniagaan dan bimbingan khusus dalam perniagaan yang diceburi untuk membantu ekonomi keluarga.