Agong, Raja Permaisuri hadiri majlis makan malam 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia-India

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hadiri majlis makan malam gala diraja, sempena 65 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan India, anjuran Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM). - Foto Bernama.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hadiri majlis makan malam gala diraja, sempena 65 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan India, anjuran Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM). - Foto Bernama.
A
A
A

PETALING JAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis makan malam gala diraja, sempena 65 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan India, anjuran Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM).

Majlis yang diadakan malam tadi dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia itu juga bertujuan untuk memperingati 15 tahun penubuhan CIIM di Malaysia.

Pengerusi CIIM, Datuk Umang Sharma, dalam ucapan berkata, CIIM telah ditubuhkan pada 2005 yang mewakili Korporat India di Malaysia dengan objektif untuk mewujudkan hubungan antara syarikat India dan pelbagai pemegang kepentingan industri di Malaysia.

"Apabila perjanjian percukaian Malaysia-India Double sedang dirundingkan, CIIM memainkan peranannya dengan memberi maklum balas dan cadangan kepada kerajaan mengenai isu yang dihadapi oleh industri," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N.Reddy dan beberapa kenamaan lain termasuk anggota kor diplomatik.

Beliau berkata, terdapat lebih 250 syarikat India beroperasi di Malaysia dan telah melabur lebih AS$3 bilion selain mengupah lebih 100,000 rakyat Malaysia.

"Pada tahun lepas perdagangan dua hala Malaysia India mencatatkan sebanyak AS$20 bilion tahun. Ekonomi India berkembang pada 8.6 peratus pada 2021 dan dijangka berkembang pada tujuh peratus tahun ini," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menyertai Golf Invitational Tournament yang julung kali diadakan yang turut disertai oleh 120 pemain golf.

Pada majlis makan malam itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima cenderahati "golf driver” manakala Raja Permaisuri Agong berkenan menerima cenderahati pasu yang mempunyai ukiran unik seperti ukiran Taj Mahal. - Bernama.