Ten Hag pengurus terbaik EPL bulan Februari

Erik ten Hag -Foto EPA
Erik ten Hag -Foto EPA
A
A
A

ERIK ten Hag dinamakan sebagai Pengurus Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi bulan Februari, sekali gus melengkapkan dua gelaran buat Manchester United selepas Marcus Rashford turut dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan baru-baru ini.

United dibawah kendalian ten Hag meraih 10 mata daripada empat perlawanan EPL sepanjang bulan lalu dan hanya keciciran mata ketika terikat 2-2 dengan Leeds United di laman sendiri.

Selain mencatatkan kemenangan ke atas Crystal Palace dan Leicester City, United kemudian menewaskan Leeds 2-0 dalam satu lagi perlawanan di Elland Road.

United turut menampilkan prestasi cemerlang untuk menamatkan kemarau trofi selama enam tahun dengan menewaskan Newcastle United dalam final Piala Liga selain menyingkirkan Barcelona daripada saingan Liga Europa (UEL).

Dalam pada itu, Rashford yang turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik EPL bulan Februari muncul sebagai pemain kedua memenangi gelaran itu sebanyak tiga kali dalam musim yang sama sekali gus menyamai rekod Mohamed Salah pada 2017-18.

Penyerang Manchester United itu meledak lima gol dalam empat aksi EPL pada Februari - bulan yang turut menyaksikan dia menjaringkan gol ketika United menjuarai Piala Liga di Wembley dan ketika menewaskan Barcelona pada Liga Europa.

Rashford yang memenangi anugerah sama pada September dan Januari mengatasi saingan pemain Leicester Kelechi Iheanacho, penjaga gol Fulham Bernd Leno dan pemain sayap Manor Solomon, pertahanan kananTottenham Emerson Royal dan penyerang Aston Villa Ollie Watkins.