Agong zahir penghargaan atas jasa, khidmat Zambrose

Al-Sultan Abdullah (kiri) hari ini berkenan berangkat ke sesi menghadap perpisahan Zamrose di Istana Negara. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah (kiri) hari ini berkenan berangkat ke sesi menghadap perpisahan Zamrose di Istana Negara. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke sesi menghadap perpisahan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Istana Negara.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa serta khidmat bakti Zamrose setelah 43 tahun berkhidmat bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

Zamrose, yang mula berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 25 April 1980, menyandang pelbagai jawatan penting dalam TDM termasuk Panglima Medan Timur sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-28 pada 11 Jun 2020.

Zamrose, yang dilahirkan pada 22 September 1962 di Seremban, Negeri Sembilan akan menyerahkan tugas sebagai Panglima Tentera Darat kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat Ke-29 akan menyaksikan penukaran tampuk pemerintahan TDM yang baharu pada 22 Mac ini. - Bernama