Laungan 'Hidup Tan Sri', 'kami sayang abah' iringi Muhyiddin

Muhyiddin diiringi ratusan penyokong ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN/ RAFEQ REDZUAN
Muhyiddin diiringi ratusan penyokong ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN/ RAFEQ REDZUAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laungan 'Hidup Tan Sri' dan 'kami sayang abah' oleh lebih 200 penyokong mengiringi kepulangan Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat.

Muhyiddin keluar menerusi pintu utama selepas selesai membayar ikat jamin berjumlah RM2 juta diiringi pimpinan Bersatu antaranya Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan beberapa pimpinan Bersatu yang lain.

Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.