'Anime sytle', 'borderline' tarik minat pemilik kereta mewah

Mohd Rozamil bersama kereta jenis Nissan Fairlady yang mendapat sentuhan kreatifnya bagi melakar lukisan 'anime sytle' atau 'borderline' pada kenderaan tersebut.
Mohd Rozamil bersama kereta jenis Nissan Fairlady yang mendapat sentuhan kreatifnya bagi melakar lukisan 'anime sytle' atau 'borderline' pada kenderaan tersebut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bukan sekadar contengan biasa, lukisan 'anime sytle' atau 'borderline' pada kenderaan yang dihidupkan oleh seorang pelukis di Kampung Raja Barang, Chendering di sini mendapat sambutan terutama menjelang musim perayaan nanti.

Mohd Rozamil Mohd Yatim, 38, atau dikenali dengan nama penanya, Zameer Pentbrush berkata, setakat ini sebanyak empat buah kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Nissan Fairlady, Audi TT dan McLaren telah siap dilukis mengikut tempahan pelanggan.

Tangkap layar video TikTok Mohd Rozamil menunjukkan sebuah Toyota Vellfire yang turut mendapat sentuhan Mohd Rozamil dengan dibantu dua anak serta seorang anak saudaranya.
Tangkap layar video TikTok Mohd Rozamil menunjukkan sebuah Toyota Vellfire yang turut mendapat sentuhan Mohd Rozamil dengan dibantu dua anak serta seorang anak saudaranya.

"Kereta pertama yang saya buat lukisan penuh menggunakan dakwat kekal dan lengkap dengan lapisan cat luar (clear coat) adalah Nissan Fairlady.

"Pelanggan dari Selangor ini menghabiskan sebanyak RM8,000 untuk lukisan dalam dan luar kereta pada bulan lalu. Sebuah lagi kereta yang mahukan lukisan kekal adalah Audi TT.

"Selain itu, saya turut menerima tempahan oleh empat buah pemilik kereta yang mahukan lukisan ini dilukis pada kenderaan termasuk dengan tema Hari Raya Aidilfitri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurut Mohd Rozamil, harga bagi 'borderline' yang dilukis itu bermula RM4,500 bagi lukisan kekal dan RM400 bagi lukisan sementara bergantung kepada permintaan pelanggan.

Katanya, tempoh lukisan bagi dakwat sementara tidak memakan masa yang lama untuk disiapkan hanya sekitar satu hingga dua jam manakala lukisan bagi dakwat kekal memakan masa sehingga dua minggu untuk disiapkan.

"Ada pelanggan mahukan dakwat sementara dan ada juga yang minat dakwat kekal. Ia bergantung kepada permintaan mereka. Setakat ini permintaan yang saya terima hanya warna hitam dan putih. Belum ada warna-warna lain lagi.

"Untuk dakwat sementara ini walaupun ia boleh hilang tetapi perlukan teknik khusus untuk hilangkan dakwat itu. Kalau basuh di 'car wash' dakwat itu tidak hilang. Jika guna teknik khas itu, dakwat sementara tadi boleh hilang namun tidak menjejaskan cat asal kenderaan," katanya.

Mohd Rozamil berkata, teknik lukisan itu mula dipraktikkan sejak ia dilakar pada sebuah motosikal Vespa pada 25 Februari lalu sebelum ia dilukis pada motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati.

Jelasnya, sambutan hangat diterima selepas beliau memuat naik video berdurasi satu minit di laman TikToknya tiga hari lalu yang sehingga kini mencecah lima juta tontonan.

Video berdurasi satu minit itu memaparkan dua anaknya bersama seorang anak saudaranya yang masing-masing berusia 10 dan 11 tahun melakar sesuatu pada sebuah kereta Toyota Vellfire.

Tangkap layar video TikTok Mohd Rozamil menunjukkan dua daripada tiga kanak-kanak yang melakar 'borderline' pada sebuah Toyota Vellfire.
Tangkap layar video TikTok Mohd Rozamil menunjukkan dua daripada tiga kanak-kanak yang melakar 'borderline' pada sebuah Toyota Vellfire.

"Sebenarnya memang budak-budak itu melakar 'borderline' pada kenderaan tersebut sebab teknik lukisan ini ia tidak memerlukan garisan yang lurus asalkan tahu tempat mana yang perlu dilakar. Kalau lukisan yang lurus sangat lebih baik tampal 'sticker' sahaja.

"Kenderaan itu adalah milik salah seorang pelanggan saya yang mahukan dakwat sementara pada kenderan tersebut. Walaupun begitu, saya tetap memantau dan melakukan penyudah pada lukisan itu.

"Musim cuti sekolah ini daripada benarkan mereka bermain gajet lebih baik belajar sesuatu yang baharu," katanya yang aktif sebagai pelukis 'air brush' sejak 2005.

Katanya, lukisan 'anime sytle' atau 'borderline' yang popular di Jepun itu bukan hanya sesuai dilakar pada kenderaan mewah, ia sesuai dilakar pada semua jenis kenderaan.

Tangkap layar video TikTok Mohd Rozamil menunjukkan sebuah Toyota Vellfire yang turut mendapat sentuhan Mohd Rozamil dengan dibantu dua anak serta seorang anak saudaranya
Tangkap layar video TikTok Mohd Rozamil menunjukkan sebuah Toyota Vellfire yang turut mendapat sentuhan Mohd Rozamil dengan dibantu dua anak serta seorang anak saudaranya

"Sebenarnya kereta apa pun sesuai guna teknik ini kalau kena dengan caranya kereta akan jadi lebih menarik.

"Teknik lukisan ini sudah lama di negara-negara barat dan Jepun khususnya, cuma di negara ini popularitinya agak perlahan.

"Jadi saya harap, dengan apa yang dihasilkan itu ia sedikit sebanyak dapat buka mata lebih ramai lagi untuk bersikap terbuka dengan kreativiti dan cabang seni yang ada," ujarnya.