Muhyiddin dihadap ke mahkamah, apa nasib PN?

Muhyiddin ketika ditemui pemberita di hadapan pintu pagar SPRM Putrajaya pada Khamis. - Foto Bernama
Muhyiddin ketika ditemui pemberita di hadapan pintu pagar SPRM Putrajaya pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SETELAH berjaya meruntuhkan gelaran 'underdog' dalam arena politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) kembali menjadi tumpuan negara apabila Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Muhyiddin pada Khamis telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana awam Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Ahli Parlimen Pagoh itu hanya dibebaskan selepas kira-kira sembilan jam memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Muhyiddin bakal berdepan dengan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ia sekali gus menjadikan Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri yang kedua selepas Datuk Seri Najib Razak berdepan dengan pendakwaan mahkamah.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kemudiannya membuat kenyataan malam tadi menerusi hantaran di Facebook dengan mempertahankan bahawa dirinya tidak bersalah.

Beliau menjelaskan sebarang sumbangan politik yang diterima Bersatu disalurkan terus ke akaun parti, bukannya akaun peribadi beliau.

"Jika ada sumbangan daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, ia adalah sumbangan politik yang dimasukkan terus ke akaun Bersatu dan bukannya dalam akaun saya.

"Jika Tan Sri Syed Mokhtar juga ingin memberikan sumbangan kepada Bersatu sebagai parti yang memperjuangkan dasar-dasar yang baik untuk orang Melayu dan negara, di mana salahnya?" soal Muhyiddin.

Apa yang menjadi persoalan kini adalah sekiranya beliau disabitkan bersalah dan perlu menghadapi hukuman penjara, adakah ia merupakan titik noktah buat perjuangan PN?

Jika ditelusuri sejarah politik nasional secara mendalam, pemenjaraan terhadap figura politik sesebuah pergerakan bukan suatu yang asing.

Antara yang pernah melaluinya ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Meskipun menjadi penghuni penjara, dipenjarakan dengan begitu lama, namun ia tidak sesekali menjadi pengakhiran buat gabungan tersebut untuk mendapat sokongan daripada rakyat.

Bahkan sewaktu beliau masih dalam tahanan, PH berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan mengakhiri legasi saingan utama politik mereka dalam mengekalkan mandat pentadbiran negara.

Ia memberi isyarat bahawa sebarang hukuman atau pendakwaan terhadap mana-mana pemimpin politik tidak semestinya dapat menutup aspirasi yang dibawa oleh mereka.