IDEAS mahu turut serta dalam PSSC

Kenyataan media IDEAS berkenaan mahu turut serta dalam Jawatan Kuasa Pilihan Khas Parlimen.
Kenyataan media IDEAS berkenaan mahu turut serta dalam Jawatan Kuasa Pilihan Khas Parlimen.
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mahu kerajaan turut melibatkan organisasi itu termasuk Rasuah Busters dalam mesyuarat dan perbincangan Jawatan Kuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) untuk beberapa isu berkaitan termasuklah pendanaan politik.

Organisasi lain adalah Agora Society, Bait Al Amanah, Bersih, C4 Center, Engage Network, dan Transparency International Malaysia.

Menurut IDEAS, pihaknya menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman untuk mempercepatkan reformasi undang-undang dan membentuk PSSC.

Justeru, kumpulan masyarakat sivil akan dapat menghasilkan dasar-dasar yang lebih komprehensif dan sesuai.

“PSSC perlu mengambil kira pandangan dan pendapat daripada orang ramai dan kumpulan masyarakat sivil dan kami akan memastikan ia mendapat sokongan rentas parti terhadap pembaharuan yang dicadangkan.

“Bukan itu sahaja, dengan adanya PSSC, maka Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPG) untuk pendanaan politik boleh meneruskan semula usaha dalam memperkenalkan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik.

"Dengan itu, pihak kami berharap agar dapat melibatkan diri dalam mesyuarat dan perbincangan PSSC Pendanaan Politik dan juga PSSC yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam masa sama, IDEAS menggesa kerajaan menubuhkan satu PSSC yang boleh berfungsi dengan baik selain mempercepatkan pembentangan rang undang-undang (RUU) tersebut tanpa penangguhan seperti yang berlaku pada tahun lalu.

"Kami juga menggesa agar PSSC yang relevan akan menjadikan Rang Undang-Undang kami sebagai titik rujukan dalam menggubal rang undang-undang mereka, kerana kami percaya ia akan memberikan pandangan berharga yang boleh menyumbang kepada penggubalan rang undang-undang pendanaan politik yang komprehensif dan berkesan," katanya.

Sebelum ini, IDEAS yang juga sekretariat APPG Pendanaan Politik dan bersama beberapa badan bukan kerajaan lain, terlibat dalam mengemukakan usul RUU persendirian mengenai pendanaan politik.