Bilangan penganggur pada Januari menurun - DOSM

Pada Januari 2023 dengan bilangan penganggur menurun kepada 596,100 orang. - Gambar hiasan
Pada Januari 2023 dengan bilangan penganggur menurun kepada 596,100 orang. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar pengangguran di Malaysia kekal 3.6 peratus pada Januari 2023 dengan bilangan penganggur menurun kepada 596,100 orang atau 0.6 peratus berbanding 599,600 orang pada bulan sebelumnya, demikian menurut Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Januari 2023 yang dikeluarkan pada Khamis.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan tenaga buruh pada Januari juga meningkat 0.2 peratus dengan merekodkan 16.16 juta orang berbanding 16.13 juta orang pada Disember, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) tidak berubah iaitu 69.8 peratus.

"Pasaran buruh negara terus berada pada trend menaik berikutan peningkatan kedudukan aktiviti ekonomi semasa, selari dengan perkembangan ekonomi global.

"Senario positif ini disumbangkan oleh peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus berkurang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kategori pekerja terus kekal sebagai komposisi terbesar dalam jumlah penduduk bekerja pada Januari 2023, merangkumi 75.7 peratus atau 12.24 juta orang berbanding 12.23 juta orang pada bulan sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, trend yang sama dapat dilihat bagi kategori bekerja sendiri yang mencatatkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus atau 2.88 juta orang pada Januari berbanding 2.86 juta orang pada Disember.

Bagi pekerja mengikut sektor ekonomi, beliau berkata sektor perkhidmatan terus mencatat pertumbuhan positif dalam guna tenaga terutamanya dalam perdagangan borong dan runcit, pentadbiran dan khidmat sokongan selain sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta makanan.

Berhubung situasi pengangguran pada Januari, beliau berkata sebahagian besar daripada penganggur adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 80.8 peratus iaitu daripada jumlah itu, 60.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.4 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Sementara itu, mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif menurun sebanyak 0.8 peratus kepada 114,500 orang berbanding 115,400 pada Disember, katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun kepada 11.5 peratus, dengan 328,800 orang belia menganggur berbanding 331,000 orang pada bulan sebelumnya, manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat 0.1 mata peratus kepada 7.0 peratus dengan mencatatkan 449,700 orang daripada 444,500 orang pada Disember.

Bagi bilangan luar tenaga buruh, mencatatkan penurunan sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang dengan 43.0 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada kategori kerja rumah atau tanggungjawab keluarga manakala 40.9 peratus dalam kategori bersekolah atau latihan. - Bernama