Pemilihan UMNO: Hamzah persoal tindakan menteri

Hamzah ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis.
Hamzah ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menggunakan kuasa budi bicaranya berhubung pemilihan UMNO meski pun parti itu tidak diharamkan pendaftaran di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Menurutnya, sepatutnya sekiranya parti itu telah diharamkan, barulah ada kuasa sebelum terdapat perkara lain yang hendak diutamakan.

"Memang betullah dia (Saifuddin) rasa sepatutnya lah UMNO diharamkan, itu persoalan yang ada di kalangan rakyat.

"Rakyat tanya saya, Datuk Seri (Hamzah) masa dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) dulu apa yang saya buat, saya kata benda yang sama.

"Saya kata kalau sesuatu pertubuhan boleh diharamkan atau tidak ada melakukan kesalahan, yang nak guna Seksyen 70 (Akta Pertubuhan 1966) ini kenapa?" katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Khamis.

Tambah Hamzah, jadi rakyat terutamanya ahli UMNO perlu sedar bahawa terdapat banyak perkara yang sepatutnya dipersoalkan.

Katanya, terpulang kepada ahli parti itu kerana setiap orang ada pandangan dan hak untuk lakukan apa yang mereka rasa perlu selagi masih mematuhi undang-undang negara.

Jelas Hamzah, ketika di KDN, beliau memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 kepada UMNO.

Ia berhubung usul tambahan yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Pada Rabu, media melaporkan kenyataan Saifuddin Nasution berkenaan keputusan memberi pengecualian kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung pemilihan parti itu adalah terpakai.

Kata Menteri Dalam Negeri itu, sekiranya ahli UMNO yang membawa isu berkenaan kepada RoS sebelum ini tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh membawanya ke mahkamah.