Tabika Perpaduan di 4 daerah jadi perintis Kelab Celik

Baharin (tengah) bersama guru Tabika Perpaduan di Majlis Perasmian Penutup Seminar Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Peringkat Negeri Johor 2019 di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, semalam.
Baharin (tengah) bersama guru Tabika Perpaduan di Majlis Perasmian Penutup Seminar Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Peringkat Negeri Johor 2019 di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, semalam.
A
A
A

BATU PAHAT - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memilih empat Tabika Perpaduan di Johor untuk menjadi perintis kepada pelaksanaan program Kelab Cendekiawan Cilik (Celik) dalam usaha melahirkan kanak-kanak aktif dalam pelbagai aspek.

Ketua Pengarahnya, Datuk Baharin Idris berkata, Tabika Perpaduan yang terlibat di daerah Johor Bahru, Muar, Kulai dan Kluang serta menyasarkan penyertaan kanak-kanak berumur di antara empat hingga enam tahun di bawah pengurusan JPNIN Negeri Johor.

"Program Celik ini dibangunkan secara kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan akan berperanan sebagai satu pusat penggabungan semua aktiviti akademik dan juga aktiviti bukan akademik seperti galakan membaca, menuntut ilmu, sukan dan juga aktiviti sosial.

“Program ini juga akan berperanan menarik minat untuk kanak-kanak tabika untuk aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan di peringkat sekolah, lokaliti serta masyarakat dan program ini meliputi konsep 3L iaitu suka (like), cinta (love) dan belajar (learning)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Seminar Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Peringkat Negeri Johor 2019 di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, di sini, semalam.

Menurutnya, sekiranya program itu berjaya dilaksanakan di empat daerah berkenaan, program berkenaan akan terus dikembangkan di kesemua 206 Tabika Perpaduan di negeri Johor sebelum menjadi rujukan kepada negeri-negeri lain.

Dalam majlis tersebut, JPNIN turut memberikan penghargaan kepada 31 buah Tadika Perpaduan yang cemerlang di negeri Johor dengan manganugerahkan penarafan lima bintang dan berharap penarafan tersebut akan memberikan semangat kepada kakitangannya dalam usaha menjadikan Tabika Perpaduan sebagai pilihan utama ibu bapa.

Pada masa sama, beliau yakin usaha-usaha transformasi pendidikan awal kanak-kanak pasti menjadi lebih efisien apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan dapat digembleng secara lebih menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"Pembelajaran yang dapat merangsang minda kanak-kanak dalam lingkungan umur empat hingga enam tahun berfokuskan kepada pertumbuhan dan perkembangan holistik kanak-kanak daripada aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

"Jadi, sebagai permulaan saya amat berpuashati kerana program pada hari ini (semalam) menggabungkan pelbagai penyertaan pendidikan awal kanak-kanak terdiri daripada 600 guru, penolong guru dan pendidik dari Tabika Perpaduan, Tadika Islam Johor (TAJ), Tabika Kemas, Prasekolah Kementerian Pendidikan dan tadika swasta," katanya.